Thursday, December 28, 2017

Hidup menyewa di Sitiawan Perak





Bismillahi Rahmanir Rahim..
Assalamualaikum diucapkan kepada orang Islam yang sedang baca blog ni. aku petik ayat daripada buku Cerita Cinta Ahmad Ammar untuk dikaitkan dengan entri kali ni,
" sesungguhnya 'rehat' itu tiada dalam kamus kehidupan di alam fana ini melainkan dipanggil kembali kepada ilahi ".
Entah kenapa bulan November tahun 2017 ni hati aku baru tergerak untuk baca buku tersebut walaupun arwah Ammar telah syahid pada awal bulan November tahun 2013 lama dulu (rasa sedih juga mengenangkan aku yang telah lama putus hubungan dengan arwah dan juga kawan kawan yang lain, atas alasan masa tu aku rasa susah nak terus berhubung dengan berutus surat ketika umur dalam lingkungan 11-13 tahun setelah aku dan keluarga berpindah ke negeri lain).

Aku baca semula entri entri lama blog aku ni setakat yang aku rajin, sungguh meremang bulu roma aku lepas tu, rasa senak perut, malu dengan bahasa yang aku gunakan dan cara penyampaian aku dulu. apa apa pun aku tak sampai peringkat nak palsukan kematian dan berpindah ke negara lain, cuma aku akan cuba menulis dengan baik, selamat membaca!
Berdasarkan entri sebelum ni (baca di sini), secara ringkasnya setelah lebih kurang 7 bulan menyewa di Serdang yang mana merupakan permulaan aku melakukan banyak aktiviti seperti dalam menguruskan diri sendiri (makan, mandi, buang air besar, hal hal berkaitan pampers ) ataupun membantu mereka melakukan kerja yang mudah seperti mengisi air ke dalam jug ataupun botol, mencuci pinggan mangkuk, menyapu secara tidak bersungguh, cuci sinki tandas, dan sebagainya. akhirnya, sekitar awal bulan Jun tahun 2015 kami pulang ke rumah asal untuk melalui bulan Ramadhan sebelum menjayakan satu rancangan yang lain pula selepas menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti.

Pejam-celik-pejam-celik mata, dalam tak sedar masa berlalu dengan pantas. ataupun kalau celik sepanjang masa tanpa pejamkan mata walau sekejap, masa tetap terus berjalan selagi belum kiamat, ya tak?.
Maka sehingga tiba tarikh 6 Ogos 2015 sebagai hari untuk kami (mak, ayah dan juga aku) bertolak ke Sitiawan, Perak yang bakal menempatkan kami jauh dari rumah melebihi jauhnya jarak dari rumah kami ke Serdang dulu. semangat untuk pergi berubat yang dirasakan ala ala 'mulakan muka surat baru sebagai seorang pelajar cemerlang' diterjemahkan kepada kata kata dalam status WhatsApp aku dulu, status WhatsApp yang kedengaran cukup bermotivasi kononnya. kami bertolak dari rumah pada hari Khamis jam 12:30 tengah hari, dengan segala urusan penjagaan orang kurang upaya dan lain lain hal di dalam perjalanan akhirnya kami tiba di Kampung Sitiawan lebih kurang jam 7:30 malam. tanpa berlengah aku terus masuk ke dalam chalet dengan bantuan mak aku dan terus berbaring. sementara mak dan ayah aku yang memunggah barang barang yang dibawa, aku hanya mampu menggeliat akibat keletihan yang sedikit sebanyak dapat menghilangkan lenguh seluruh badan terutama kedua dua bahagian kaki aku, entah kenapa sejak sakit ni aku kerap mengalami lenguh tangan dan kaki.


D-Chalet milik Haji Daud. kami rumah yang di tengah.
sumber - google
Hidup aku memang sudah banyak kekurangan yang sedia ada, tetapi lebih dirasakan ketika ketiadaan kerusi malas buat masa ni. untuk mengelakkan perkara yang sama seperti di Serdang berulang, di mana aku banyak menghabiskan masa di atas wheelchair, di birai katil, atau hanya berbaring sehingga berpeluh bahagian belakang badan, 'pengembaraan' kali ni kami turut bawa bersama kerusi malas yang digunakan di rumah, bersama sama melalui perjalanan lebih kurang 7 jam melalui highway. kerusi malas ni selalu mengingatkan aku kepada pengalaman yang menyeramkan satu ketika dahulu, saat yang paling menakutkan berlaku berulang ulang kali apabila kerusi malas ni dibaringkan sewaktu mereka salinkan pampers aku. pada fikiran aku kerusi malas ni langsung tak stabil dalam keadaan dibaringkan dan boleh terlingkup serta terlipat bersama sama dengan aku, aku selalu terbayangkan dalam kepala tragedi penuh drama tersebut walaupun hakikatnya ia tak logik. ini mungkin akibat daripada detik yang mencemaskan sewaktu kakak kedua pakaikan pampers aku di atas wheelchair ketika dahulu, pernah sekali wheelchair tersebut hampir terbalik sewaktu ia dibaringkan. mujur tiada perkara buruk pun yang berlaku waktu tu, cuma ia meninggalkan kesan pada aku.

Begitu juga dengan wheelchair, wheelchair yang pernah digunakan di Serdang 'dengan saiz yang lebih kecil dan lebih mudah untuk dibawa berjalan' tersebut, turut dibawa bersama kami ke Sitiawan kali ni. cumanya ia tidak digunakan langsung di chalet yang berkeluasan lebih kurang 16X14 untuk kami meneruskan hidup buat sementara waktu, apa apa pun ribuan terima kasih yang tidak terucap di atas segala kebaikan dan kemurahan hati pemilik chalet ini terhadap kami. berkenaan jarak dari chalet untuk ke klinik homeopati yang menjadi tujuan utama kami ke Sitiawan ini pun amat dekat, dengan menaiki kereta hanya mengambil masa kurang dari 5 minit, untuk orang kurang upaya mungkin lebih sedikit dari 5 minit. malah dengan berjalan kaki bagi yang mampu pun boleh, begitu jelas menggambarkan betapa dekatnya ia.

Ternyata suasana dan secara keseluruhan kehidupan kami di sini telah memaksa aku menggunakan kaki sendiri sepenuhnya untuk bergerak walau satu meter. boleh dikira secara rasmi aku berhenti daripada menggunakan wheelchair adalah pada tarikh 6 Ogos 2015. bermula dengan aku yang tak ubah seperti hangat hangat tahi ayam untuk berlatih berjalan di rumah asal kami, kemudian kami menyewa rumah yang sempit di Serdang yang akhirnya banyak menjadi galakan kepada aku untuk berjalan di samping melakukan banyak aktiviti lain juga, dan sekarang keadaan di Sitiawan ini. semuanya seakan tersusun mengikut apa yang aku PERLUKAN, tak pernah sekali aku MAHUKAN.
Ayat daripada buku Cerita Cinta Ahmad Ammar lagi yang mampu memukau aku juga ada berbunyi "Takdir begitu indah, perancangan Allah S.W.T begitu halus, teliti dan seni. Ia beralun lembut dengan irama pelbagai peristiwa saling menyokong sehingga membingungkan mereka yang tidak mahu berfikir".
Rasanya untuk ke tandas atau ke mana saja selagi ada tempat untuk aku berpegang, maka selagi itu in shaa allah aku boleh bergerak di dalam rumah sewa ni atau di bahagian depan rumah, cumanya tempat baru pasti memerlukan masa untuk dibiasakan. 'dibiasakan' selalunya terkandung elemen mengenal pasti kemudian cuba untuk ingat seperti bahagian lantai yang tiba tiba jatuh ke bawah / tidak rata, pada objek dan perabot apa yang tidak boleh dipegang dengan kuat, laluan mana yang selalu akan wujud halangan seperti daud pintunya ketat, kawasan tersebut merupakan tempat letak baldi atau kawasan lantai di situ selalunya akan licin. tidaklah sesusah mana pun berjalan pegang pada dinding kalau nak dibandingkan dengan berjalan dalam keadaan mata yang buta (nauzubillahiminzalik), tambahan pula pengalaman berjalan dengan berpegang pada dinding banyak aku perolehi dan pelajari sewaktu di Serdang.

Sebagai langkah pertama misi kali ni, keesokan hari di awal pagi lagi kami sudah ke klinik untuk bertemu doktor homeopati untuk berbincang tentang jadual atau barangkali perancangan beliau sendiri. hasil daripada perbincangan tersebut, untuk hari Rabu ataupun Khamis bagi setiap minggu aku akan difisio oleh beliau sendiri, manakala hari Jumaat hingga Isnin aku hanya perlu exercise dan menggunakan peralatan yang ada di gym. hari Selasa adalah berita gembira untuk aku kerana hari cuti bagi klinik ini ataupun mungkin ini bukan berita yang begitu menggembirakan, kerana seandainya klinik tak cuti hari Selasa pun hakikatnya aku tetap tak perlu merasai letih sepanjang minggu seperti menguruskan seminar pun. jarang ada manusia begitu gembira dengan mendapat cuti sehari sedang hidupnya dalam seminggu tak ubah seperti mendapat rehat 7 hari. dalam kata lain, aku di sini langsung tak terikat dengan jadual seperti yang ada di mana mana tempat belajar.

Boleh dikatakan hampir setengah hari pada hari Sabtu yang lalu, mak dan ayah aku sibuk meneroka bandar dan kawasan di sekitar tempat baru kami ni. agaknya selepas selesai urusan kami di klinik pada hari Jumaat tempoh hari pun, aku sudah ditinggalkan berseorangan di chalet sementara mak dan ayah aku mula ber-Cuti Cuti Malaysia secara ringkas di banyak tempat, kawasan ataupun daerah yang ada berhampiran dengan Sitiawan dan juga Manjung sambil membeli beberapa keperluan lain sebagai tambahan seperti getah paip, almari plastik / almari baju mudah alih, dan mungkin 1 atau 2 benda lain lagi yang aku tak ingat.



Aktiviti kami pukul 10 pagi pada hari Ahad pula hanya menghadiri Majlis Jamuan Makan bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang telah diadakan di klinik ni. rasanya dah lama aku tak makan makanan yang sedap tanpa ada rasa takut yang menghantui sebelum makan. mana tak nya, setiap kali aku makan makanan yang sedap, ataupun mungkin tak begitu sedap contoh mudahnya adalah kicap, kesannya aku akan sakit kencing. tapi sewaktu kami menghadiri majlis tersebut, aku menikmati hidangan yang boleh dikira agak popular di negara India itu, mungkin juga Nepal dan Pakistan iaitu capati yang diuli sendiri dan dimasak oleh pemilik klinik ni berserta kari kambing tanpa rasa ragu ragu langsung, alhamdulillah sangat sedap dan tak menyakitkan kencing (seingat aku macam tu lah). aku nak kongsikan satu fakta yang memang diketahui ramai iaitu dari segi kesihatan pemakanan, capati lebih baik berbanding dengan roti canai memandangkan kolestrol di dalam roti canai adalah lebih tinggi, ini disebabkan penggunaan minyak masak di dalam roti canai adalah berlebihan.



10 Ogos 2015, Isnin

Aku bangun daripada tidur jam 6:45 pagi untuk Solat Subuh, kemudian aku bersiap sama seperti orang yang sihat sehinggalah ke sarapan, rutin di setiap pagi semasa di Serdang masih diteruskan di Sitiawan ni iaitu aku akan mulakan dengan makan epal dahulu kerana aku masih lagi mengeluarkan bunyi seakan akan nak muntah setiap kali waktu makan terutamanya waktu makan pagi. setelah selesai segala urusan kami terus bertolak ke klinik yang mengambil masa hanya 5 minit.
Kali terakhir kami ke sini adalah pada 4 Julai yang lepas iaitu setelah kami pulang ke rumah asal selepas daripada menyewa di Serdang selama 7 bulan dahulu, entah kenapa sepanjang kami di Serdang tak pernah langsung kami ke sini. ini merupakan kali kedua dalam tahun 2015 aku dibawa ke klinik homeopati di Perak yang terletak sejauh lebih 430 km jaraknya dari rumah. kesimpulan untuk semua garis waktu yang aku catatkan ni membawa maksud buat pertama kali aku akan menggunakan gym, dalam masa yang sama juga gym ini boleh dikira sebagai sebahagian sesuatu yang baru di klinik ini.

Lebih kurang 1 jam 20 minit kemudian lelaki yang menguruskan gym tersebut panggil mak aku yang menunggu di luar untuk memapah aku berjalan keluar, sebenarnya bukanlah gaya seseorang yang memapah sepenuhnya pun, lebih kepada 'membantu' aku berjalan keluar kerana selalunya aku hanya memerlukan bahu ataupun lengan tangan (bukan pergelangan tangan) untuk dipegang. ini bukan soal aku tiada keyakinan untuk berjalan sendiri ataupun aku terlampau takut tapi possibility aku untuk jatuh adalah lebih tinggi daripada tidak jatuh apabila aku sedang berjalan sendirian, jadi aku perlu beri 100% tumpuan untuk setiap langkah yang aku ambil, ini juga bermakna aku tiada kesempatan untuk berjalan sambil mengangkat muka, memandang tepat ke arah muka manusia lain dan senyum, aku tak mampu berjalan sambil minum air, sambil menggunakan talifon, sambil memikirkan masalah matematik mudah seperti 600 x 13 pun boleh dianggap distraction. kemudian aku terus dibawa pulang ke chalet dalam keadaan aku yang agak keletihan melakukan pelbagai aktiviti di dalam gym tadi.

Ok karangan kali ni dah lebih daripada 180 patah perkataan rasanya, cukuplah sampai di sini. aku cuma nak ucap selamat kembali belajar kepada adik adik yang masih bersekolah, kepada ibu bapa selamat menjemput dan menghantar anak anak ke sekolah, kepada peminat bola sepak antarabangsa selamat menyambut kedatangan Transfer Window, kepada Warisan Petani yang baru follow blog ni selamat datang ya, paling penting terima kasih diucapkan kepada semuaaaa yang sudi baca blog aku ni!


Sekian.