Thursday, July 28, 2016

Perubatan alternatif sebagai jalan keluar

 

Wahh baru sekarang ada masa senggang nak sambung cerita. maklumlah musim perayaan begini, agak susah nak cari masa lapang bagi kedua dua belah pihak, aku dan orang orang yang nak ditemubual. bila aku duduk melepak mereka sibuk, bila mereka berehat aku pulak yang sibuk. oh ya lagipun ini merupakan tahun pertama aku menyambut hari raya aidilfitri tanpa menggunakan wheelchair setelah 4 kali syawal berlalu, alhamdulillah best!

Ok sambungan haritu;
Setelah tamat episod episod kritikal aku di HUSM kubang kerian lebih kurang sebulan lamanya itu, kemudian aku dipindahkan ke hospital lain di mana berdekatan sedikit dengan tempat tinggal kami. tarikh tepatnya tak dapat dikenal pasti so ambik sekitar awal bulan depannya, yang pasti masa tu lebih kurang dalam minggu kedua bulan november. setelah dipindahkan dari husm, aku ditempatkan di wad pesakit lelaki sahaja di sebuah hospital di sini, dekat la dengan tempat tinggal kami. kalau tak silap aku duduk di sini hanya untuk enam hari sahaja. Su Yee pun tiada di sini untuk membantu, manakala hal hal berkaitan penjagaan aku pula telah menjadi rutin buat mereka. suap aku makan, tapi aku kemam je, tak mengunyah pun, aku tak berapa nak makan dah masa tu. salinkan pampers, tukarkan baju, lap seluruh badan aku, sehingga mereka perlu mengiringkan badan aku ke kiri dan ke kanan untuk lap di bahagian belakang badan.
Saudara mara dan kawan kawan lebih mudah untuk datang menziarah, yelah dekat sikit kan. setelah beberapa hari aku di sini, ibu kepada kawanku sewaktu di sekolah menengah dulu turut datang menziarahi aku. beliau datang bawa bersama seorang pengamal perubatan homeopati untuk berjumpa aku. Teringat sewaktu tingkatan lima dahulu, mak aku akan menjemput aku di asrama kemudian menghantar ke tuisyen dan sering kali dia akan tumpang sama untuk ke tuisyen. sekarang bantuan sebegini rupa pula yang mereka hulurkan pada kami.
Enam hari aku di sini sambil ditemani ahli keluarga seperti di kubang kerian dahulu, dengan rupa aku yang masih lagi seperti mayat hidup, aku hanya descharge begitu sahaja. menurut mak aku, doktor pakar berpendapat aku ni tak sakit, wallahualam aku difahamkan begitu. agaknya mereka pun dah tak dapat nak bantu apa apa.
Aku dibawa pulang ke rumah dalam keadaan yang entah apa akan jadi pada aku nanti, buat masa tu mak aku hanya bercadang mereka mungkin akan membeli sebuah katil sama seperti yang digunakan di hospital, mudah sikit untuk menguruskan aku. keesokkan hari setelah aku dibawa pulang ke rumah, mak dan ayah aku bertindak mengambil dan membawa ke rumah pengamal homeopati yang telah diperkenalkan pada mereka beberapa hari lepas semasa di hospital. Setelah melihat aku, kata perawat itu vitality aku tinggi, in shaa allah boleh sembuh.
Menguruskan orang sakit seperti aku memerlukan banyak tenaga kerja, tiga orang diperlukan untuk mengangkat aku sahaja, itupun masih susah. badan aku keras, badan aku tak mudah untuk dilenturkan ketika itu ataupun gambarannya lutut siku aku, dan bahagian lain badan aku yang bersendi susah untuk mereka 'mengononkan', misal kata kalau nak melakukan pergerakan untuk aku, mereka sendiri yang perlu menggerakkan anggota anggota aku. otak yang berfikir dari orang lain, anggota badan pula dari orang lain. ditambah pula dengan ketinggian aku lagi, hanya untuk bawa aku masuk ke dalam kereta pun sudah cukup susah. di sebabkan itu orang yang merawat terpaksa dibawa ke rumah kami. bahagian ni pun banyak yang aku tak dapat nak tulis, contohnya cerita mereka mengharungi ribut untuk menjemput orang yang merawat aku tu hanya mereka dan tuhan sahaja yang tahu betapa susahnya masa yang telah mereka lalui itu.




*****




Mula mula aku dibawa pulang ke rumah, aku dimandikan dengan daun daun apentah, cara tradisional yang dicadangkan oleh pak sedara aku. mereka heret kerusi malas yang aku gunakan hingga ke hari ini bawa masuk tandas, dan di atas kerusi tu mereka mandikan aku. Mereka panggil 'serung', untuk lembutkan urat urat. erk aku tak tau sangat yang pasal ni.


Selepas dibawa balik ke rumah pasti lebih memudahkan orang yang mengenali aku datang melawat berbanding untuk ke kelantan masa di husm dahulu. saudara mara, kawan kawan sekampung, kawan kawan dari zaman sekolah yang tinggal berhampiran malah kawan kawan UiTM juga ada yang turut datang melawat. dari jauh sanggup mereka datang ke rumah, ada yang bermalam di rumah, sebahagian yang lain tak tau la di mana mereka bermalam.
Fasa fasa ini mereka perlu bertungkus lumus menghantar aku berubat, apabila aku mainkan semula video yang sempat dirakamkan kakak aku dahulu ketika itu cukup mengambarkan penyakit saraf yang dihidapi. kakakku masukkan ubat ke dalam mulut aku. dengan mata aku yang tidak berkedip langsung, terbeliak je, setelah disentuh oleh jarinya barulah mataku terpejam sekejap. Masih ingat lagi tekak aku yang ditebuk masa koma untuk bantuan pernafasan dulu tu? kesannya aku masih tak boleh bercakap ketika ini. jadi aku hanya diam membisu, kaku tidak bergerak. macam anak patung.

keadaan kesihatan aku nampak agak merosot setelah pulang jika nak dibandingkan semasa di husm dulu, dengan aku yang hanya mengemam makanan sahaja ketika itu. jadi keinginan aku yang sudah mula untuk makan menjadi kayu ukur mereka bahawa aku menunjukkan tanda tanda positif untuk sihat. alhamdulillah setelah tiga hari menggunakan kaedah rawatan alternatif begini, aku telah menunjukkan tanda tanda positif untuk sembuh. oleh kerana segala benda mereka yang lakukan untuk aku, maka aku makan pun perlu bersuap. masa mula mula pulang ke rumah, pemakanan aku tidak teratur, apa yang aku perlu dan boleh aku makan pun tidak dititikberatkan sangat. lama kelamaan barulah aku mula makan nasi yang lembik tu, kadang kala mereka perlu suap aku makan sehingga dua jam lamanya. bila aku dah mula makan, mesti aku akan mula 'membuang' pula kan? jadi bermulalah satu lagi pengalaman baru buat mereka iaitu mencuci najis di katil..
Bila sampai masanya, mula mula sekali mak aku akan menggunakan surat khabar sebagai alas. kemudian mengiringkan aku. kalau mengiringkan ke sebelah kanan, alas surat khabar di sebelah kiri dan begitulah sebaliknya. seterusnya mak aku akan tanggalkan pampers tadi dan terus buang. yang pastinya mak aku akan menggunakan tisu yang dibasahkan dan juga tisu kering untuk mencuci berkali kali sehingga baunya hilang. selalunya tisu yang digunakan memang banyak. menurut mak aku lagi, cara mencuci najis ni berbeza beza dari semasa ke semasa mengikut keadaan kesihatan aku.
pampers masa tu pula sangat banyak yang digunakan dan sangat banyak yang perlu dibeli. lebih kurang dalam 25 bungkus sebulan yang perlu dibeli, atau mungkin lebih sedikit daripada itu kalau aku banyak berkumuh. masa tu pasaraya di tempat aku menjual sebungkus harganya lebih kurang RM 11 lebih.

Dalam satu hari memang aku akan dialih alihkan duduk di kerusi malas, wheelchair, takpun katil. aku tidak akan dibiarkan berada setempat dari pagi. kakak aku akan memegang ketiak aku manakala mak pula akan memegang kedua dua belah kaki untuk mengalihkan aku. lebih kurang setahun juga mereka perlu mengangkat begitu untuk mengalihkan aku dari satu tempat ke tempat yang lain.
Beberapa bulan yang pertama selepas aku keluar dari hospital dan juga setelah aku agak mudah untuk dialih alihkan, boleh dikatakan begitu kerap mereka bawa aku berulang dari rumah ke tempat berubat yang jauhnya tidak sampai dua marhalah itu. yang memeritkan adalah proses untuk keluarkan aku dari rumah tersebut. kalau kerja untuk mengalihkan aku dari satu tempat ke tempat yang lain di dalam rumah ini dikira agak susah, maka untuk mengeluarkan aku dari rumah dan bawa masuk ke dalam kereta adalah dua kali ganda kesusahan yang perlu dihadapi. Pagi pagi lagi selepas solat subuh mereka sendiri akan bersiap kemudian barulah mereka menyiapkan aku pula. disebabkan pintu depan rumah aku bertangga level anak anak, ini menambah lagi kerja mereka. mak aku akan meletakkan kenderaan betul betul di hadapan rumah. ok bahagian ni ada campur tangan ayahku untuk membantu. ayahku yang slip disc hanya menarik wheelchair secara mengundur ke belakang, tayar belakang wheelchair yang besar dahulu akan menuruni anak tangga. dan kakakku pula akan mengangkat sedikit tayar hadapan wheelchair yang lebih kecil agar tidak terhentak. walaupun mereka hanya perlu menghadapi anak tangga, tetapi anak tangga ni ada dua, anak tangga yang terpisah sejauh lebih kurang empat kaki.


Selesai di situ, mereka akan mengangkat dan memasukkan aku terus ke dalam kereta, bahagian bahagian wheelchair yang dicipta untuk dicabut dan dipasang semula akan mereka tanggalkan seperti pada bahagian kepala, penyandang kaki, penghadang di bahagian tepi kiri dan kanan dan seterusnya wheelchair tersebut akan dilipat. sebelum jam 6:30 pagi kami sudah bertolak untuk bawa aku pergi berubat, kerana katanya saraf lembut pagi pagi hari.

Kesan daripada tekak yang ditebuk menyebabkan aku tak boleh bercakap untuk beberapa bulan, atau perkataan yang lebih tepatnya adalah bisu. setelah lebih kurang empat bulan berlalu dalam keadaan aku yang bisu begitu, alhamdulillah akhirnya rezeki aku dapat bercakap semula. mungkin perkataan pertama yang keluar dari mulut aku adalah "mak", biarpun tak begitu jelas sebutannya, sekurang kurangnya itu satu perkembangan yang baik kan. Selama aku menjadi bisu, kami berhubung hanya dengan menggunakan isyarat tangan dan berpandukan suara mak aku, sehinggalah wujudnya dialog dialog yang mengundang sebak di dada;
"Pening berapa?"
"Satu? dua ke tiga?"
Dengan di sertakan gaya tangan dan jari yang menunjukkan isyarat satu, dua dan tiga, barangkali untuk lebih menjiwai komunikasi dua hala yang amat sukar tu. ataupun boleh jadi,
"Sakit banyak mana?"
"Sikit, sedang ke banyak?"
Sambil membuat gaya objek kecil, sederhana dan besar.
Banyak kali aku tonton cerita My Sister's Keeper, dan tak sangka di dalam cerita tu pun ada scene di mana doktor bertanya pada Sofia vassilieva, sebagai watak Kate fitzgerald yang menghidap leukemia menggunakan kaedah yang sama. menggunakan angka untuk mengukur level kesakitan. kalau tak silap, rasanya itu satu satunya yang pernah aku tonton filem sedih bagi Cameron diaz yang merupakan emak kepada Kate fitzgerald tu.
Selepas aku dapat bercakap kembali, aku diberitahu ada kawan rapat yang mengikuti perkembangan aku sejak dari hari pertama aku koma sehingga saat ini ingin bercakap dengan aku melalui telefon. Terima kasih, baik sungguh dan rajin betul dia mengikuti perkembangan aku masa tu. Haha pasti dia pun teruja aku dapat bercakap semula..

Pada peringkat awal aku dalam keadaan begini, anak mata hitam aku bergerak gerak ke kiri dan ke kanan tanpa diri sendiri ada kemampuan untuk mengawalnya. selalunya mak aku akan letakkan satu jari di hadapan muka aku dan meminta aku pandang tepat ke arah jari tersebut,
"pandang mak, pandang mak"..
Argh susah tau assignment ni, mata aku mesti bergerak gerak juga. aku tak pasti selama mana mata aku dalam keadaan begini. Pada fasa ini juga ada sekali saja aku pengsan dulu masa mula mula descharge dan balik ke rumah jadi tak banyak untuk diceritakan, yang banyak berlaku pada aku adalah muntah. Ada satu ketika tu kakakku beri makan buah betik, dek kerana aku yang tak reti untuk bagitahu dah kenyang ataupun tidak, maka aku pun muntah. mungkin kerana aku makan terlalu banyak. masa tu aku tak banyak bergerak, masih tiada respon, dan disebabkan takut aku akan lemas muntah dalam keadaan begitu, kakakku perlu menarik badan aku ke depan.

Sarung tilam pvc yang kebiasaannya pelajar perempuan gunakan untuk sarung tilam mereka semasa tidur di hostel tu boleh digunakan semula untuk tujuan yang sama cuma caranya berbeza. aku tak pasti sama ada kreativiti orang yang menjaga aku atau situasi yang menekan mereka menyebabkan idea tercetus untuk menjadikan sarung tilam pvc itu sebagai barang keperluan aku yang sangat berguna. setiap masa bilamana aku berada di katil, sarung tilam pvc tersebut akan dilipat untuk dijadikan alas di tempat aku berbaring dan tujuannya pun tetap sama. cuma aku namakan sarung tilam pvc yang telah ditransform itu dengan nama 'alas tikar getah'. sehingga ke hari ini aku masih lagi menggunakannya, kalau dahulu saiznya besar, tapi sekarang dilipat makin kecil, tak perlu bentang tikar getah besar besar. Setiap pagi lebih kurang selama setahun apabila aku bangun daripada tidur, alas tikar getah tadi yang dilapik dengan kain dan kesemuanya sekali akan turut basah dibanjiri dengan air kencing. setiap pagi pasti basah lejut!


 Oleh kerana aku ada ramai kakak kandung, jadi sementara menunggu bermulanya cuti semester kakak ketiga aku, kakak sulung aku terpaksa berulang dari serdang ketika itu hampir setiap minggu untuk pulang ke rumah demi membantu mak aku menjaga aku selepas kakak kedua yang menjaga aku sejak di husm sudah mula sambung belajar.

No comments :

Post a Comment